KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan akan melaksanakan tujuh langkah bagi menangani wabak denggi yang semakin kritikal sejak kebelakangan ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S.Subramaniam berkata, tujuh langkah itu diputuskan melalui satu mesyuarat yang disertai penyelidik, pakar klinikal dan agensi lain baru-baru ini.
“Antara langkah yang akan dilaksanakan adalah semburan kabus secara kombinasi iaitu menggunakan racun serangga (insecticide) dan temephos bagi membunuh nyamuk dewasa dan larva secara serentak bagi memastikan aktiviti kawalan lebih berkesan di kawasan `hotspot’.
“Langkah kedua pemantauan rapi di kawasan berwabak dengan memastikan pegawai setiap daerah dan negeri turun padang dan setiap Pejabat Kesihatan Daerah serta Jabatan Kesihatan Negeri mengenal pasti punca punca pembiakan utama termasuk di tapak tapak binaan dan memfokus intervensi mengikut masalah setempat,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Subramaniam berkata, langkah seterusnya adalah meningkatkan aktiviti penguatkuasaan agar kesedaran masyarakat terhadap menghapuskan tempat tempat pembiakan di praktikkan dalam amalan harian.
Katanya, Kementerian Kesihatan akan turut mengadakan gotong-royong secara serentak di sepuluh lokaliti `hotspots’ pada awal Mac ini dan meningkatkan kesedaran masyarakat bagi melindungi diri gigitan nyamuk melalui penggunaan repellen dan penggunaan aerosol.
Tambahnya, aktiviti kawalan melalui pengurangan sumber pembiakan aedes yang lebih menyeluruh dilokaliti melalui penglibatan semua agensi akan turut dilakukan dan langkah itu diyakini berkesan dalam kawalan denggi untuk tempoh yang lebih lama.
“Diharapkan dengan perlaksanaan perkara-perkara ini, ianya dapat mengekang peningkatan kes dan kematian denggi yang berlaku pada ketika ini.
“Bagaimanapun cara paling berkesan mencegah denggi adalah mempastikan tiada nyamuk aedes di persekitaran kita. Oleh itu, saya ingin menyeru semua masyarakat meningkatkan aktiviti mencari dan menghapuskan tempat pembiakan aedes setiap minggu dan menjaga kebersihaan dalam rumah serta persekitaran,” katanya. – mynewshub.my
0 comments:
Post a Comment